Program Titik Sentuhan RTM

Ditemuduga oleh wartawan 'Titik Sentuhan RTM' berkaitan isu jalan rosak dilaluan pintasan Bandar Indera Mahkota melalui Bukit Sekilau ke Bandaraya Kuantan

Tanding Pilihan Raya Umum Ke-15

Berada di pejabat SPR Pahang, ambil borang bertanding DUN dan Parlimen PRU-15 lalu, namun hasrat itu dibatalkan akibat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan

Pilihan Raya Kecil DUN Chini

Menjadi calon bebas PRK DUN Chini pada Julai 2020, walau bagaimana pun saya tewas dalam percubaan tersebut kerana kekurangan dana untuk berkempen tarik sokongan pengundi.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin

Akibat dihalang masuk ke dewan untuk menghantar borang pencalonan pada PRK Parlimen Rompin pada 2015, tunjuk protes dengan mengoyak borang terbabit di luar dewan.

Temuduga Khas Wartawan Astro Awani

Ditemuduga oleh wartawan Astro Awani tentang pandangan beliau apa yang dimahukan dan harapan rakyat dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12

CMK Sertai Himpunan Rakyat Bantah Lynas Dari KLCC Ke Pejabat' Pesuruh Jaya Tinggi Australia' !

Baru-baru ini (20 Mei) CMK sempat mengikuti rombongan ke perhimpunan anti Lynas di Kuala Lumpur. Pada awalnya CMK tidak jadi pergi disebabkan bajet dan kenderaan yang alami masalah teknikal. Namun selepas dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa ada bas rombongan dari Masjid Cenderawasih masih kosong, maka lepaslah CMK ke KL. Penganjur rombongan ialah Hj.Ismail (Kg.Tengah), dia banyak bagi maklumat dan pandangan semasa perjalanan. Bertolak dari Kuantan sekitar jam 8.30 pagi, dan singgah di R&R Gambang untuk sarapan. Sekali lagi singgah di R&R Gombak untuk rehat, sebelum terus ke KL. Sampai di sana dalam pukul 12.30. Bergerak ke KLCC untuk solat Jumaat dalam pukul 1.00 petang itu. Selesai solat, masing-masing bersiap sedia untuk berarak ke Kedutaan Australia yang terletak lebih kurang 700 meter dari KLCC di Jalan Yap Kwan Seng. Sampai di lokasi, kelihatan ramai peserta demo datang dari Kuantan yang sudah berada di situ. Difahamkan ada 10 buah bas dari sini. Kelihatan anggota polis lebih ramai dari peserta. Suasana sungguh meriah ketika itu dengan laungan "hidup rakyat, tolak Lynas, Save Malaysia" daripada peserta demo.


Hj.Ismail sedang sibuk memberi taklimat kepada semua peserta rombongan


Singgah di R&R Gambang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur


Antara pimpinan parti PAS yang turut hadir menyokong bantahan Lynas

CMK sempat bergambar dengan Tian Chua serta lain-lain peserta yang hadir



Kelihatan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat dari Pahang yang hadir seperti Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ustaz Suhaimi Md Saad, Ustaz Fadhil Noor, Andansura Rabu, Ustaz Yusof Embong dan yang lainnya. Turut hadir ialah pemimpin PKR seperti Tian Chua, Elizabeth Wong, Azmizan Zaman Huri dan yang lainnya. Selain itu ada beberapa wakil dari PSM yang memberikan sokongan. Kelihatan juga wakil dari Peguam Pahang yang sama-sama berada di situ. Trak FRU lebih kurang 5 buah diletakkan di hadapan Kedutaan Australia. Itu belum termasuk anggota polis bersenjata yang turut mengawal keadaan. Suasana umpama di medan perang. Mujurlah Pesuruhjaya Tinggi Australia membenarkan enam orang wakil termasuk YB Fuziah Salleh untuk masuk menyerahkan memorandum tersebut. Hujan turun dengan lebatnya ketika peserta menunggu wakil mereka keluar dari Kedutaaan Australia. Polis sekadar mengawal dan tidak membuat apa-apa provokasi. Mungkin atas arahan pihak kedutaan. Perhimpunan selesai lebih kurang jam 4.00 petang dan kami bersurai untuk balik ke destinasi masing-masing selepas itu. Sesungguhnya, perhimpunan yang berlangsung di KL adalah terlalu manis untuk dikenang. CMK ucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta.

Seharian 'Meluangkan Masa 'Bersama Himpunan Rakyat Bantah Lynas & Seminar Maqasid Shari'ah

Pada 15 Mei 2011 yang lalu, CMK sempat bersama rakyat dalam beberapa program yang diadakan di sekitar bandar Kuantan. Paginya sekitar jam 11.00 CMK hadir ke demo anti-Lynas anjuran Parti Demokratik Rakyat (DAP) yang diadakan di hadapan Pejabat Khidmat parti itu di Jalan Beserah. Pada awalnya CMK juga agak terkejut kerana anggota polis lebih ramai dari orang awam. Khabarnya polis sudah diarahkan ke lokasi terbabit seawal jam 7.30 pagi lagi. Polis berpakaian seragam dilihat berbaris di depan pejabat DAP seperti mahu bersedia untuk menggempur rakyat yang mahu mengadakan himpunan secara aman. Agak sukar untuk kita faham kenapa ini berlaku?. Sedangkan jika himpunan itu bertujuan untuk hiburan sudah pasti ia dibenarkan. Alasan OCPD Kuantan, Tuan Jasmani Yusoff perhimpunan itu tiada permit. Beberapa pemimpin DAP seperti YB Leong Ngah Ngah (ADUN Triang), YB Anthony Loke (Ahli Parlimen Rasah) dan YB Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota) dari PKR juga sempat berucap. Ketika Anthony Loke berucap itulah OCPD datang dan mengarahkan perhimpunan bersurai sambil ditenangkan oleh YB Azan. Dalam kekecohan menyuruh semua bersurai, tiba-tiba ada empat aktivis ditangkap oleh pihak polis. CMK sempat ke IPD Kuantan untuk meninjau situasi di sana. Difahamkan kesemua mereka dibebaskan beberapa jam kemudian dam diminta melaporkan diri ke IPD Kuantan pada 16 Jun nanti. CMK sempat beramah mesra dan bergambar dengan YB Teo Nie Ching (foto) Ahli Parlimen Serdang yang kontroversi dengan isu ceramah di dalam surau dulu.


CMK sempat bergambar kenangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Bergambar dengan sahabat blogger, wfauzdin blogspot yang turut hadir
Sementara itu di sebelah petangnya CMK sempat hadir ke Seminar Maqasid Shariah Dan Masyarakat Majmuk yang diadakan di Dewan Restoran Sekilau Seafood Jalan Hj.Ahmad. Seminar anjuran Gabungan NGO-NGO Islam Pahang itu menampilkan Dr.Muhammd Nur Manuty (Ketua Penerangan PKR), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesuruhjaya PAS Pahang & Naib Presiden PAS Pusat) dan Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi (Ketua Pemuda PAS). Sementara itu ahli panel jemputan pula ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Agak ramai juga yang hadir dan tambah menarik ialah seminar itu turut disertai oleh ramai kaum Cina dan India. Mereka sama-sama berada dalam dewan untuk mendengar penjelasan yang diberikan oleh ahli panel. Seminar tersebut dipengerusikan oleh Dato' Fauzi Abd Rahman iaiatu Pengerusi PKR Pahang. Sambutan hangat dikalangan peserta membuktikan bahawa rakyat ternyata mahukan satu kehidupan yang selesa dibawah pemerintahan sebuah kerajaan yang lebih adil dan telus. Bukan kerajaan yang sengaja melaga-lagakan isu perkauman seperti yang berlaku hari ini. Diakhir program CMK sempat bergambar dengan Anwar Ibrahim sebelum beliau meninggalkan majlis. Selain Anwar, CMK juga sempat beramah mesra dengan rakyat bebagai bangsa termasuk sahabat blogger Wfauzdin.

Panas, Naib Ketua AMK Pahang Sdr Hafez Harun Letakkan Semua Jawatannya Daripada Parti PKR

Selepas digemparkan dengan berita Chegubard keluar PKR baru-baru ini, maka hebohlah seluruh negara tentang isu tersebut. Ada yang percaya, ada yang tidak dan ada pula yang mahu tunggu dan lihat. Persoalan apakah benar Chegubard akan berbuat demikian, itu terletak kepada dirinya. CMK tidak pernah mengatakan dia akan masuk mana-mana parti sama ada UMNO atau terus dengan Pakatan Rakyat. Namun, ada pihak yang membuat ramalan jika pun Chegubard keluar maka dia besar kemungkinan akan sertai Parti Demokratik Rakyat (DAP). Apapun keputusan Chegubard ia sudah pasti akan menjadi tajuk utama media arus perdana selepas ini. Khabarnya jika Chegubard keluar PKR, maka beliau akan diikuti oleh para penyokong setianya yang kini sudah bersiap sedia untuk sama-sama menaiki kapal baru. Difahamkan, satu persatu Ketua AMK Cabang yang berpihak kepada Chegubard juga akan berbuat demikian. Ini terbukti, apabila Ketua AMK Cabang Kuala Krau, Hafez Harun berbuat demikian semalam. Beliau yang juga merupakan Naib Ketua AMK Pahang meletakkan semua jawatannya dari PKR berkuat kuasa pada 9 Mei 2011 (Isnin). Surat perletakan tersebut telah dihantar melalui email kepada pihak yang berkenaan. Menurut Hafez, turut berbuat demikian ialah Timbalan Ketua dan Naib Ketua AMK Cabang Kuala Krau. Tidak dapat dipastikan apakah Hafez akan mengikuti jejak langkah Chegubard. Tidak dapat dipastikan dia masih bersama PKR atau turut keluar parti itu. CMK akan cuba menghubungi Hafez Harun untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kempen Bantah Lynas Terus Bergema, Kerajaan Harus Dahulukan Rakyat Dalam Kontroversi Ini

Malam tadi CMK sempat luangkan masa untuk bersama rakyat di program 1,000 ibu mengandung bantah rare earth di pantai Teluk Chempedak Kuantan. CMK smpai awal sekitar jam 6.00 petang, dengan niat untuk memantau situasi di kawasan tersebut. Namun, sesampai di lokasi telah kelihatan beberapa petugas AMK Pahang mengedarkan risalah, air mineral dan jualan baju T-Shirt Stop Lynas, Save Malaysia. Sempat dengar YB Tian Chua dan YB Fuziah Salleh buat ucapan ringkas. CMK pun dapat bercakap sekitar lima minit untuk menyemarakkan api perjuangan rakyat. Program berjalan lancar, cuma lewat petang itu pihak polis yang diketuai OCPD Kuantan telah mengarahkan semua bersurai. Beliau juga melarang sebarang aktiviti termasuk penjualan t-shirt bantah Lynas di kawasan itu. Namun, selepas rundingan dengan beberapa orang pemimpin akhirnya pihak polis membenarkan dengan kawalan oleh pegawai mereka. Sebelah malam barulah orang ramai berpusu-pusu datang. Masing-masing bersemangat untuk nyatakan bantahan. Ada dikalangan mereka ialah para doktor, peguam, guru, pegawai kerajaan dan berbagai lagi. Mereka juga kecewa dengan tindakan kerajaan terus membenarkan Lynas beroperasi di Gebeng. Program berakhir sekitar jam 9.30 malam dengan nyalaan lilin di tepi pantai tersebut sambil diikuti dengan berbagai laungan slogan keramat. CMK ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat. Program berjaya capai matlamat biarpun penuh dengan dugaan dan rintangan sebenarnya. Teruskan perjuangan untuk menyedarkan rakyat tentang bahaya radioaktif yang akan dihasilkan oleh kilang Lynas.

Sumpah Laknat, Lokman Sebenarnya Yang Telah Mula Tunjukkan Jalan Kepada Saiful Dan Eskay !

Bila melihat Datuk Eskay bersumpah laknat dan sebelum itu Saiful Bukhari Azlan berbuat demikian beberapa tahun lalu, CMK terkadang tertanya-tanya dari manakah mereka belajar ilmu sumpah-sumpah itu selama ini?. Selepas diamati betul-betul, akhirnya barulah CMK faham bahawa ilmu sumpah berkenaan dipelajari daripada bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan sendiri yang kini kembali bergelar Exco Pemuda UMNO iaitu Lokman Noor Adam (foto). CMK masih ingat Lokman telah bersumpah di Masjid Negara pada 19 Feb 2004. Dalam sumpahnya sambil menjunjung Al-Quran diatas kepalanya, Lokman mendakwa bahawa cerita Ketua AMK Keadilan ketika itu iaitu Ezam Md.Noor ambil duit RM 1 Juta daripada Presiden Filipina, Estrada dan sumbangan Ketua Pemuda Terengganu sebanyak RM 300,000 adalah benar. Beliau sedia dilaknat Allah s.w.t. jika dakwaannya tidak benar. Lokman cabar Ezam untuk lafaz sumpah junjung Quran ditempat yang sama pada 21 Feb 2004 tepat jam 11.00 pagi untuk menafikan dakwaannya itu. Beliau bersumpah selepas dipecat dari menjadi ahli Keadilan atas tuduhan membuat tuduhan liar tanpa bukti, memujuk orang untuk masuk UMNO dan memburukkan nama Keadilan di media massa. Anehnya sampai sekarang Ezam tidak menjawab sumpah Lokman dan perkara ini masih menjadi tanda tanya sebenarnya. Maknanya Lokman mempunyai bukti yang Ezam melakukan perbuatan rasuah tersebut, malah beliau siap kepilkan dengan resit bukti-bukti yang berkaitan selepas itu. Soalnya sekarang, jika Ezam masih belum menjawab sumpahnya maka ini bermakna Lokman tidak wajar bersama Ezam dalam UMNO. Namun, itulah politik bagi mereka yang bergelar petualang rakyat. Segala sumpah dan janji yang diberikan oleh mereka kini dimungkiri dan terbukti mereka yang bersumpah ini kebanyakannya menjerumuskan diri menjadi munafik. Cuma bezanya, sumpah Eskay dan Saiful di dalam masjid sebaliknya sumpah Lokman Noor Adam diluar masjid. Gara-gara sumpah si Lokman itulah Keadilan Paya Besar dibubarkan pada tahun 2004 lalu. Ketika itu nama CMK adalah calon Keadilan untuk DUN Lepar. Itulah dia bahana sumpahan. Kini ia berlaku lagi dan apakah kita boleh terima sumpah itu?.

Khabar Angin Isu Chegubard Tinggalkan PKR, Ke Mana Arah Hala Tuju Perjuangannya Selepas Ini!

Susulan pendedahan CMK berkaitan khabar angin tentang tokoh anak muda Keadilan iaitu Chegubard yang tewas secara misteri ditangan Samsul Iskandar ketika merebut jawatan Ketua AMK dalam Pemilihan 2010 yang lalu, maka blog CMK menjadi sedikit panas dan tegang. Tambahan pula banyak blog pro UMNO memetik artikel tersebut termasuk AnwarAIDC yang pernah menyiarkan gambar CMK cium Anwar satu ketika dulu. Kini orang-orang kanan Chegubard terus dihujani dengan berbagai persoalan daripada anak muda Keadilan di seluruh negara. Mereka gusar, ke mana hala tuju perjuangan Chegubard jika dia meninggalkan PKR?. Soalnya, ke manakah arah tujuan beliau selepas ini?. Semua itu terletak dibahu anak muda itu jika benar beliau akhirnya terpaksa meninggalkan PKR. Tidak perlu ada yang menuduh dia pengkhianat kerana masa sudah terlalu lama diberikan kepada pucuk pimpinan tertinggi PKR untuk menyelesaikan kemelut Pemilihan 2010 dulu. Namun, segala yang dijanjikan itu nampaknya tidak membuahkan hasil. Bayangkan kemenangan Samsul ke atas Chegubard diisytiharkan tanpa jumlah undi yang diperolehi. Ini sesuatu yang amat tidak wajar berlaku dalam sesebuah parti sebenarnya. Apa akan terjadi jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mengumumkan jumlah undi bila mengisytiharkan pemenang sesuatu pilihanraya?. Bukankah kita akan tuduh SPR menipu dan sebagainya. Kini, apa yang berlaku kepada Chegubard harus dijadikan tauladan kepada PKR agar tidak mengulangi perkara yang sama pada masa akan datang. Berlaku adillah dalam parti sendiri sebelum beriya-iya mahu mencari keadilan buat rakyat. Keadilan itu perlulah ditegakkan dan bukan hanya untuk dilaungkan semata-mata.


Panas, Chegubard juga dilihat muncul dengan MB Negeri Sembilan ini
Lantaran itulah CMK tidak hairan jika benar Chegubard membawa diri. Itu hak beliau setelah sekian lama menunggu dan terus menunggu. Difahamkan, beliau kini aktif dengan berbagai aktiviti dibawah SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia). Anehnya, itu pun menjadi halangan pihak-pihak tertentu hinggakan banyak program beliau terpaksa dibatalkan akibat campur tangan pihak atasan PKR. CMK melihat, ini satu perkembangan yang tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku. Malahan lebih teruk lagi, bila ceramah beliau juga banyak yang dihalang sedangkan beliau masih lagi bersama PKR. Bayangkan anak muda seperti Chegubard yang telah banyak berjasa kepada perjuangan Keadilan tiba-tiba diperlakukan begitu?. Justeru itu, tidak hairanlah jika beliau pergi sebagai seorang pejuang yang bermaruah. Apapun, keputusan terletak ditangan Chegubard sekarang. Beliau yang juga mempunyai hubungan saudara dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu khabarnya memberi masa lagi kepada parti untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Jika tiada jalan penyelesaian, maka barulah keputusan drastik akan dibuat olehnya. Ramai yang menuduh beliau gila jawatan, tapi mereka harus ingat dia juga pernah ditawarkan jawatan oleh PKR sebelum ini. Namun dia menolak atas kerana prinsip yang terus dipertahankan. Soalnya apakah dia akan bersama UMNO, PAS, DAP, KITA atau lain-lain parti yang seangkatan dengannya?. Atau mungkin akan terus aktif dengan NGO seperti SAMM, Perkasa dan sebagainya. Hanya Chegubard lebih mengetahuinya. Apapun keputusan yang dibuat, CMK tetap menghormati keputusan beliau dan sesungguhnya dia akan pergi sebagai seorang pejuang yang bermaruah dan bukan pengkhianat seperti yang lain-lainnya.

Siapa Gamaknya 'Pemimpin Pakatan Rakyat' Yang Bersekongkol Dengan Projek Radio Aktif Lynas Itu

Ramai yang terkejut bila CMK terpaksa dedahkan ada pemimpin pembangkang (Pakatan Rakyat) yang cakao tak serupa bikin dalam Isu Lynas. Dalam sibuk-sibuk rakyat berjuang untuk membatalkan projek berkenaan, pemimpin terbabit telah sanggup bersekongkol menikmati hasil daripadanya. Bukankah ini satu pengkhianatan dan tidak sewajarnya berlaku. Namun, apa boleh buat kerana manusia itu hatinya lain-lain. CMK tidak berani untuk menyalahkan beliau sepenuhnya jika benar dia terlibat dengan Lynas. Namun, agak menghairankan kenapa ini boleh berlaku?. Ramai yang kecewa dengan pendedahan panas yang dibuat ini. Namun, hakikat perlu ditelan. Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. CMK bukan dapat maklumat dari tepi jalan. Malah, jika pun UMNO yang beri maklumat mungkin CMK tidak dapat menerimanya. Tapi, bila maklumat itu disalurkan oleh penyokong kuat dan ahli parti sendiri, ini sudah tidak wajar berlaku. Mana mungkin pemimpin yang dilihat berjuang membela rakyat dalam isu Lynas tiba-tiba ada kaitan pula dengan syarikat dan projek itu. Apapun, fail masih dalam siasatan dan belum disiapkan sepenuhnya. Cuma CMK harap, pemimpin terbabit dapat berfikir sebelum membuat keputusan. CMK terpaksa mendedahkan perkara ini jika terbukti beliau bersalah. Ini kerana, CMK tidak mahu berkompromi dengan benda yang salah. Bagi CMK yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Walau bagaimana pun perjuangan untuk membantah Lynas akan diteruskan dalam apa jua keadaan sekali pun. Faktor ada yang menjadi gunting dalam lipatan, itu adalah masalah peribadi. Agenda utama ialah memastikan Lynas keluar dari Kawasan Perindustrian Gebeng. Itulah perjuangan sebenar untuk seluruh rakyat Kuantan yang tidak berdosa ini.

Tamparan Hebat Buat PKR Jika Benar Anak Muda Seperti 'Chegubard' Pula Meninggalkan Parti Itu !!

Petang Isnin (2 Mei 2011) CMK telah meluangkan masa untuk bertemu dengan Chegubard (PKR) di sebuah restoran mamak dekat bandar Kuantan. Banyak benda yang kami bualkan, termasuk senario di Sarawak, isu saman Utusan, kes liwat II termasuk juga berkisarkan hala tuju perjuangan politik masing-masing. CMK hargai kunjungan Chegubard ke Kuantan, ketika dia dalam perjalanan dari Kemaman untuk berceramah malam itu di Lanchang. Turut hadir petang itu ialah Kamarul Hatta (PKR) dan Saudara Ito (Kg.Tengah). Dalam berbual, Chegubard sekali lagi meluahkan perasaan terkilan beliau akibat kegagalan PKR menyelesaikan kemelut pemilihan 2010 lalu. Parti katakanya seolah-olah cuba mengalih pandangan dan mahu beliau melupakan apa yangs udah berlaku, sedangkan perkara itu sebaptutnya diselesaikan seperti janji dua minggu yang dibuat oleg Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution semasa Kongres PKR di Petaling Jaya tahun lalu. Namun sehingga kini segalanya "indah khabar dari rupa". Ini menyebabkan Chegubard terpaksa memberi sedikit masa sahaja lagi untuk PKR membuat keputusan, sama ada mahu menyelesaikan kemelut itu atau membiarkan sahaja ia berlalu. Beliau turut menegaskan akan bertindak untuk "meninggalkan parti itu" andai jalan penyelesaian tiada. Malah katanya, itulah yang amat dikehendaki oleh mereka yang berkuasa sekarang ini. Ketika CMK tanya ke mana hala tuju politiknya andai keluar PKR. Chegubard beberapa kali menegaskan dia akan membuat satu keputusan mengejut berkenaan perkara itu. Namun, itu pun jika tiada tindakan daripada pucuk pimpinan tertinggi PKR sendiri. CMK merasakan, PKR bakal menerima pukulan TKO jika anak muda seperti Chegubard pula meninggalkan parti itu. Malah, dia khabarnya akan membawa bersama para penyokong dan pemimpin muda di peringkat cabang-cabang di seluruh negara. Ini satu tamparan hebat buat PKR, maka seharusnya Anwar Ibrahim memainkan peranan untuk menyelesaikan kemelut ini. Agak malang bila beliau yang masih bersama PKR tiba-tiba dihalang melakukan aktiviti termasuk berceramah di sana-sini oleh parti sendiri. Senario ini memang berlaku, dan sungguh memalukan. CMK harao, Chegubard dapat membuat keputusan yang bijak dalam menentukan masa depan perjuangannya. CMK hormati apa jua keputusan yang dibuat beliau.

Sensasi: Apakah Kewajaran Pelatih Puspen Lebih Dijaga Kebajikannya Oleh Kerajaan BN Daripada Mereka Yang Menuntut Di Pusat Pengajian Tinggi

Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (foto) berhubung kos yang ditanggung kementerian bagi seorang penghuni Puspen, iaitu sebanyak RM19.77 sehari atau RM593.10 sebulan sungguh mengejutkan. Kos tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, emolumen kakitangan dan perkhidmatan serta bekalan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit pada persidangan Dewan Negara semalam. Jika benar apa yang dipertakan oleh Abu seman itu, maknanya dalam tempoh setahun kerajaan Malaysia terpaksa membelanjakan sebanyak RM7,117.20 atau RM14,234.40 untuk tempoh dua tahun pelatih puspen menjalani latihan disitu. Maknanya jika ada yang keluar setelah menamatkan latihan, kemudian mereka menagih semula dan masuk kembali ke puspen kerajaan terpaksa menanggung lagi dua tahun latihan mereka. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya ialah RM28,468.80. Bayang jika akhirnya mereka keluar dan kemduian masuk kembali ke situ seperti banyak yang berlaku sekarang, maka tambahan lagi dua tahun diperuntukkan. Maknanya mereka akan menghabiskan masa selama enam tahun di puspen dan kerajaan terpaksa belanjakan kos RM42,703.20 untuk setiap pelatih.

Pelatih Serenti Lebih Untung Daripada Pelajar IPT

Soalnya sekarang, apakah bila pelatih serenti terbabit keluar dari puspen mereka dikejar dengan hutang piutang yang memaksa mereka membayarnya, seperti yang berlaku kepada graduan IPT?. Bukankah mereka tidak perlu membayar apa-apa walau satu sen pun. Malah ramai dikalangan mereka akan menagih semula. Mereka suka masuk ke puspen kerana katanya kerajaan tanggung kehidupan di situ. Akhirnya mereka mati dan kerajaan tidak dapat apa2 hasil daripada pelaburan yang dibuat itu. Pernahkah kerajaan fikirkan semua ini? Wajarkah para pelajar IPT yang belajar utk menuntut ilmu di menara gading dan menjadi aset berguna untuk pembangunan negara pada masa akan datang tidak pula ditanggung pembelajaran mereka?. Mereka dibebani dgn berbagai hutang seperti MARA, JPA dan pastinya PTPTN. Jika mereka belajar peringkat sijil, kemudian sambung ke diploma dan akhirnya ijazah mereka akhirnya menanggung hutang hingga hampir sama jumlah dengan pelatih puspen itu tadi. Mereka terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN. Malah mereka dikenakan berbagai tekanan supaya membayar balik wang tersebut. Adilkah situasi ini?. Mereka yang belajar, kerajaan tidak tanggung, sebaliknya yang menagih dadah ditanggung pula. Maka itu, wajarlah pinjaman PTPTN dijadikan sebagai biasiswa seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara terutamanya untuk pelajar Bumiputra. Usahlah dibebani mereka dengan hutang-piutang sedangkan sebahagian besar mereka itu tidak bekerja atau bekerja diluar bidang tugas mereka. Ramai yang bekerja gunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan kelulusan dari IPT terpaksa disimpan akibat kekurangan peluang pekerjaan.


Apakah kita mahu ketuanan Melayu di pusat serenti dikekalkan
[Pelajar Melayu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti yang diiktiraf, berhak mendapat biasiswa seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya. Pemberian biasiswa pelajaran adalah antara hak keistimewaan bagi orang Melayu. Pemberian pinjaman di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak boleh dianggap sebagai pengganti kepada pemberian biasiswa. Pinjaman PTPTN adalah untuk kemudahan semua rakyat Malaysia. Jika pinjaman ini menggantikan pemberian biasiswa untuk pelajar Melayu Bumiputera, maka hak keistimewaan orang Melayu telah diketepikan. Sekiranya ada pelajar Melayu bumiputera yang berjaya ke universiti tetapi tidak memperolehi biasiswa, bermakna perkara ini bertentangan dengan semangat dan hasrat yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu. Maka itu fikir-fikirkanlah]. pahangdaily

Eksklusif: 'Rahsia' Terbongkar, Patutlah Kerajaan Malaysia Beriya-Iya Pertahankan Lynas, Rupanya Mereka Ada Projek Besar Daripada Sisa Radioaktif

Keputusan Kerajaan Malaysia mengarahkan satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan orang ramai bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif. Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu. Difahamkan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB). Keputusan tersebut nampaknya sungguh menggembirakan Lynas Malaysia Sdn Bhd. Sementara itu, Mashal Ahmad selaku CEO Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kajian semula panel bebas terhadap kilang "rare earth" di Gebeng akan membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar berhubung projek itu. Lynas yakin kajian itu akan mengesahkan semula yang kilang itu selamat dan tidak membahayakan kepada komuniti atau pekerja mereka. Syarikat itu juga berharap kajian akan siap dalam masa sebulan dan dipercayai tidak akan memberi kesan dengan jangkaan tarikh siap projek itu. Lynas kononnya akan terus bekerja dengan pihak berkuasa Malaysia termasuk Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pembinaan projek terus memenuhi semua keperluan dan mematuhi standard antarabangsa kata kenyataan terbabit.


Inilah dia CEO Lynas Malaysia yang bernama Dato' Mashal Ahmad itu
Soalnya sekarang, apakah semua ini selesai dengan tindakan kerajaan ini?. Siapakah pakar bebas yang dimaksudkan itu? Atau mungkin juga pakar itu ditawarkan oleh pihak Lynas sendiri. Jika ini berlaku, apakah panel bebas itu boleh telus dan adil untuk rakyat?. Bagaimana pula jika semua pakar itu telah "dibeli" oleh Lynas supaya mengeluarkan kenyataan yang menyokong projek syarikat berkenaan. Semua ini adalah satu "berita malang" buat rakyat Kuantan sebenarnya. Justeru itu kami cuba menyiasat, kenapakah Kerajaan Malaysia beriya-iya masih mahu mempertahankan projek berisiko ini tanpa mahu mengambilkira hati dan perasaan rakyat. Malah, kita juga hairan kenapa Kerajaan Negeri Pahang sendiri seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang malah memberikan berbagai alasan untuk mempertahankan projek tersebut. Maka, akhirnya barulah ditemui "rahsia besar" kenapa projek Lynas ini mesti diteruskan. Rakyat membantah kerana "Thorium" iaitu siasa buangan beradioaktif yang bakal terhasil daripada bahan mentah "rare earth". Rupa-rupanya, mereka "makan dua kali", dan ini bukanlah cerita dongeng tetapi berasaskan fakta dan kebenaran. Ia bersumberkan kepada beberapa penemuan penting oleh seorang pakar dalam bidang berkaitan ialah Dr.Carlo Rubbia. Rupanya bahan itulah yang paling berharga kerana ia boleh digunakan untuk tenaga. Malah kajian Dr.Carlo mendapati satu tan Thorium boleh menggantikan 200 tan Uranium dan 3.5 juta tan Arang Batu. Bukankah ini cukup menakjubkan sebenarnya. Ikuti pendedahan eksklusif kami tentang isu ini.

Thorium Akan Jadi Mineral Penting Loji Nuklear


Dr.Carlo Rubbia (foto), salah seorang pemenang hadiah Noble pada tahun 1986 yang merupakan pengkaji fizik di Organisasi Kajian Nuklear Eropah (European Organization for Nuclear Research -CERN) telah memaklumkan hasil kajian berkenaan Thorium. Thorium boleh digunakan untuk menjana elektrik diloji penjaaan elektrik berkuasa nuklear. Selama ini uranium digunakan disemua loji penjanaan elektrik berasaskan nuklear. Uranium adalah sebuah mineral yang tidak stabil dan loji nuklear yang menggunakan uranium adalah terdedah kepada risiko sepertimana yang terjadi di Loji Nuklear Fukushima, Jepun. Uranium juga bukan mudah diperolehi kerana tidak banyak negara yang menjadi pengeluar dan pengekspot uranium. Tiga negara terbesar pengekspot uranium ialah Kazakstan, Canada dan Australia. Ketiga-tiga negara ini mengeluarkan hampir 63% dari keperluan uranium dunia. Uranium adalah sebuah mineral yang tidak stabil justeru pihak pengkaji dan ahli fizik telah membuat kajian mendalam berkenaan Thorium dan hasilnya, Thorium adalah 200 kali lebih berkuasa dari uranium dan 3.5 juta kali lebih berkuasa dari arang batu dan boleh digunakan untuk menjana kuasa elektrik. Disebabkan Thorium adalah beradioaktif maka Thorium hanya boleh digunakan diloji penjanaan elektrik berkuasa nuklear. Di seluruh dunia terdapat 442 loji penjanaan elektrik berkuasa nuklear yang menghasilkan 372 gigawatt elektrik untuk keperluan dunia dan ini merangkumi 14% dari keperluan dan kegunaan elektrik seluruh dunia. Dalam keadaan ini Thorium dilihat sebagai mineral yang paling sesuai untuk menggantikan penggunaan uranium.


Inilah dia bentuk bahan radioaktif Thorium yang cukup berharga itu

Di sinilah bahan mentah rare earth diambil untuk dibawa ke Malaysia
Setakat ini pengeluar Thorium terbesar dunia adalah negara China. Saintis di China telah pun memulakan kajian untuk membina reaktor nuklear yang akan menggunakan Thorium sebagai bahan mentah asas. Sebuah syarikat dari Norway, Aker Solutions telah membeli idea dan kajian Dr. Carlo Rubbia yang telah dipatenkan. Kini Aker Solutions menjalankan kerjasama dengan China untuk membina reaktor nuklear pertama dunia yang akan menggunakan Thorium sebagai bahan mentah. Kos pembinaan satu loji yang boleh beroperasi dengan baik dijangka mencecah RM7 billion. Malah syarikat ini juga merupakan pelabur pertama dan terbesar melabur di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Syarikat terbabit melabur RM400 juta untuk membina sebuah pusat pengeluaran yang akan memainkan peranan penting menyokong eksplorasi minyak dan gas mereka di Asia Pasifik. Susulan dengan maklumat tersebut Kerajaan Malaysia kini sedang giat mengkaji dan ingin membina loji nuklear untuk menjana kuasa elektrik. Walaupun telah berlaku tragedi nuklear di loji Fukushima, Kerajaan Malaysia akan meneruskan kajian dan pembinaan loji nuklear.


Lihat, kolam yang dikatakan digunakan untuk menyimpan Thorium

Kerja-kerja pembinaan kini sedang rancak dijalankan oleh pihak Lynas

Biar pun ada bantahan rakyat, kerja pembinaan masih tetap diteruskan
Kenapa ini berlaku, lihat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan bahawa "Malaysia Perlu Loji Nuklear". Malah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon dalam satu kenyataan, keputusan muktamad sama ada Malaysia akan membina loji tenaga nuklear bagi menjana kuasa elektrik akan diputuskan pada 2012. Beliau juga ada berkata kerajaan juga mungkin menghadapi cabaran dari segi kos memandangkan pembiayaan awal mewujudkan loji nuklear ini adalah empat kali ganda lebih mahal berbanding loji arang batu. Bagaimanapun pada jangka masa panjang ia akan menguntungkan kerana sangat mesra alam disebabkan tiada bahan pencemaran. Ini kerana Kerajaan Malaysia akan menggunakan Thorium dan bukan uranium.


Rupanya, Thorium amat berguna sebagai bahan mentah asas loji nuklear

Ternyata kebakaran besar di Loji Nuklear Jepun tidak menjadi ikhtibar
Kerajaan tidak berani umumkan perkara ini kerana menunggu Kerajaan China melakukannya terlebih dahulu dan bila China telah berjaya maka barulah kerajaan akan umumkan peminaan loji nuklear di negara ini. Ini membuktikan sebab musabab kenapa Malaysia sanggup bertindak membelakangkan rakyat dalam isu pembinaan kilang memproses rare earth di di Gebeng. Kilang Lynas di Gebeng yang akan beroperasi kelak dijangka menghasilkan puluhan ribu tan Thorium sebagai sisa beradioaktif dan mereka telah mengumumkan bahawa mereka telah mendapat kelulusan dari kerajaan Malaysia untuk menyimpan sisa ini di Gebeng untuk selama-lamanya. Agensi Pelesenan Tenaga Atom (AELB) pula telah mengeluarkan kenyataan bahawa Thorium boleh disimpan di Malaysia tetapi bukan untuk selama-lamanya. Ketua Pengarahnya, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan menafikan telah meluluskan rancangan Lynas untuk menyimpan sisa buangan radioaktif lojinya di Gebeng sambil menegaskan, syarikat Australia itu tidak akan dibenar menyimpan ratusan tan meskipun ia masih menganggapnya selamat. Ini membuktikan bahawa Thorium itu akan disimpan dan akan digunakan di Malaysia, sebab itu mereka kata boleh disimpan tapi bukan untuk selama-lamanya. Malaysia memerlukan Thorium tersebut, untuk digunakan sebagai bahan mentah di loji nuklear yang akan dibina.

Thorium Lebih Berharga Pada Masa Akan Datang

Disebabkan Malaysia bukanlah pengeluar uranium, maka kerajaan beranggapan dengan adanya stok Thorium yang besar di Gebeng, maka Malaysia bukan sahaja tidak akan menghadapi masalah untuk memperolehi bahan mentah tersebut, tetapi Malaysia juga boleh manjadi pengekspot Thorium yang penting di dunia. Ini dapat mengelakkan Malaysia dari membayar kos yang besar untuk pembelian uranium dari negara lain. Suatu hari nanti pengekspotan Thorium akan menjadi satu industri yang sama penting dengan kelapa sawit dan getah. Bayangkan harga setiap ton Thorium dipasaran dunia bila pasaran dikuasai oleh hanya dua negara iaitu China dan Malaysia. Sementara itu CEO Lynas Corporation Ltd, Nicholas Curtis (foto) pula khabarnya mahukan Lynas Malaysia Sdn Bhd beroperasi di Gebeng untuk menaikkan harga saham syarikat itu dan untuk menguasai pasaran pembekalan nadir bumi di Jepun dan Eropah. Kini terbukti kenapa kerajaan Malaysia pula beria-ria mahukan projek ini diteruskan, ia kerana faktor Thorium yang akan dapat memberikan pulangan yang besar kepada ekonomi negara walaupun terpaksa menggadaikan keselamatan dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia. Justeru itulah rakyat perlu terus bangkit menentang projek ini tanpa ada sebarang alasan. Kita mempunyai asas yang kukuh untuk membatalkan projek ini, kerana mereka yang terlibat mempunyai agenda tersembunyi yang pasti akan memperjudikan nasib rakyat itu sendiri.


Bukti anak cacat seperti diceritakan mangsa radiaoaktif di Bukit Merah
[Setelah melihat apa yang tersirat dalam isu ini, maka tahulah kita kenapa Kerajaan Malaysia begitu beriya-iya mempertahankan Lynas tanpa mengambilkira bantahan rakyat. Sungguh malang nasib kita jika kerajaan seperti ini terus disokong lagi dalam Pilihanraya Umum akan datang. Maka, jalan terbaik ialah pastikan mereka jatuh atau dijatuhkan demi masa depan rakyat tercinta. Marilah kita bersama-sama meneruskan bantahan ini, kerana mereka yang ada hari ini pasti tidak akan bertanggungjawab pada masa akan datang. Selama ini kita sangka "Thorium" yang ada radioaktif itu akan ditanam dan dibuangkan. Malah ada yang mengatakan akan dibuat simen dan sebagainya. Sekarang terbukti, mereka mempunyai agenda yang lebih besar dari yang telah kita ketahui. Oleh itu, teruskan bantahan dan pastikan semua rakyat dapat maklumat ini untuk disebarkan. Jangan cuba untuk persiakan masa depan anak cucu kita].- sumber rujukan

Isu Lynas: MB Tidak Perlu Panggil Pakar Mengkaji Kerana Rakyat Mahu Projek Tersebut Di Batalkan!

CMK amat tertarik dengan laporan muka depan Sinar Harian Pahang hari ini, kononnya Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob mahu mengkaji kewujudan kilang Lynas di Gebeng. Antara lain Adnan berkata Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menutup pembinaan kilang pemprosesan logam nadir bumi kerana milik Syarikat Lynas Corporation Ltd dari Australia. Menteri Besar itu berkata, kelulusan sebenar ialah dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selepas disahkan tahap keselamatannya oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA). “Bukan kerajaan negeri yang luluskan kilang itu. Saya sendiri hairan kenapa ada pihak yang membuat bantahan dan mencerca kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12 semalam. Adnan bagaimanapun memaklumkan sidang dewan bahawa kerajaan negeri berpuas hati dan bersetuju dengan pembinaan kilang itu selepas mendengar taklimat daripada pihak berkenaan pada 22 Julai 2009. Katanya, sebelum pembinaan kilang terbabit, kerajaan negeri meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Nuklear Malaysia memantau projek itu demi keselamatan penduduk. Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mengkaji semula kewujudan kilang itu demi rakyat dan bersetuju untuk mendapatkan pandangan pakar antarabangsa bagi beri pandangan berhubung pembinaan kilang itu. “Kajian semula ini bukan atas desakan sesiapa atau Ahli Parlimen Kuantan tetapi hasil pertemuan bersama seorang pakar sains pada satu majlis dan ia juga untuk kepentingan rakyat, bukan untuk rakyat yang membantah sahaja tetapi kalau ia mengancam keselamatan, wajib kita menjaga keselamatan semua,” kata MB Pahang itu.

Kenapa MB Tidak Mahu Mendahulukan Rakyat

Adnan juga memberitahu bahawa pihak Lynas juga sedia bekerjasama dengan pakar berkaitan untuk memantau kilang bernilai RM700 juta itu dalam mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan. Kontroversi kilang itu wujud selepas dikatakan mengancam nyawa penduduk melalui radiasi yang bakal dikeluarkan kilang apabila beroperasi kelak. Berikutan itu, ramai penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan membantah pembinaannya. Begitulah antara lain kenyataann yang disiarkan dalam Sinar Harian hari ini. Soalnya apakah MB jujur dan ikhlas mahu mengkaji?. Kajian apa yang mahu dia lakukan. CMK hairan dengan sikap MB Pahang ini, rakyat sepatutnya didahulukan dan bukannya tokey tanah yang diambil oleh Lynas iaitu Franky Construction. Beliau harus ingat bahawa hayat politiknya sebagai Menteri Besar juga sudah sampai ke penghujungnya. Mungkin 10 tahun dari sekarang dia bukan lagi MB Pahang. Maka, apakah beliau akan bertanggungjawab terhadap rakyat yang akan menderita ketika itu?. Sekarang mungkin boleh bercakap senang, untuk kaji. Apa yang mahu dikaji?. Rakyat bukan mahukan kajian untuk membenarkan kilang itu meneruskan operasi mereka. Rakyat mahu kilang Lynas dibatalkan dan operasinya yang dijangka bermula bulan September ini juga dihentikan. Rakyat tidak mahu kewujudan kilang itu di kawasan Kuantan. MB harus faham situasi ini. Biar pun kadar radiasinya rendah namun ia tetap berisiko. Kenapa bawa masuk projek yang ada risiko ke Pahang. Apakah sudah tidak ada pelaburan yang lebih relevan untuk menjana ekonomi negeri ini?. Membawa masuk pelaburan berisiko dengan perlepasan cukai selama 12 tahun seumpamanya membawa bala buat rakyat di kawasan ini. Oleh itu, rakyat perlu bangkit untuk menentang dan jangan terbuai dek kenyataan MB yang kini terperangkap dengan isu itu.

Radiasi: MB Tidak Perlu Memperbodohkan Rakyat

CMK amatlah berharap agar rakyat tidak terpedaya dengan permainan selamat MB ini. Beliau sebelum ini mengatakan kilang terbabit selamat kerana radiasi yang dikeluarkan adalah rendah. Malah di sidang DUN semalam MB menjelaskan bahawa beberapa contoh bahan yang mengandungi radiasi dan boleh mengancam kesihatan termasuk televisyen, telefon bimbit, jam tangan dan rokok. Semua orang tahu barangan itu ada radiasi, tapi tahapnya bagaimana?. Apakah ia membahayakan kehidupan manusia?. Lynas memproses bahan mentah yang akan menghasilkan bahan radiaoaktif. Risikonya biar pun kecil tetapi terpaksa ditanggung rakyat. Jika tidak berbahaya, saya cabar Adnan dan exco kerajaan negeri Pahang yang ada sekarang buat rumah di kawasan Gebeng atau sekitarnya. Duduk situ untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. Baru mereka tahu ia berbahaya atau tidak. Pakar mana yang mahu dibawa masuk oleh MB? Sedarkah beliau bahawa kesannya akan ditanggung rakyat dalam jangkamasa panjang. Ketika itu, apa yang pakar hari ini lakukan sudah tidak bererti lagi. Rakyat yang akan menanggung derita dan sengsara akibat kedangkalan seorang Menteri Besar membawa masuk pelaburan berisiko ke negeri Pahang ini. Apakah beliau fikir risiko kecil itu tidak boleh menjadi risiko besar suatu hari nanti. Apakah beliau hanya percaya kenyataan pakar-pakar tanpa mempercayai hukum alam ini. Sanggupkah beliau melihat ribuan rakyat di kawasan berhampiran hidup dalam risiko?. Jika inilah mentaliti Adnan Yaakob selaku Menteri Besar Pahang, maka ternyata beliau perlu diturunkan secara terhormat dalam pilihanraya umum akan datang sebenarnya. Beliau memang sudah tidak layak lagi untuk menjadi MB Pahang, kerana lebih mengutamakan keuntungan daripada masa depan rakyat. Sepatutnya, rakyat itu diutamakan dari segala-galanya!

Pilihan Raya DUN Sarawak, Biar Pun Kalah Tetapi Pembangkang Menang Di Hati Rakyat Sebenarnya


Keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10 sudah pun diketahui. Ternyata parti pembangkang dilihat telah berjaya mematikan keegoaan BN sejak sekian lama. Biar pun tewas dan gagal menghalang BN mengekalkan majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, namun ia adalah kemenangan moral kepada rakyat sebenarnya. Ini kerana pakatan pembangkang telah menang 15 kerusi DUN kali ini, iaitu meningkat sekali ganda daripada pilihanraya lalu. Bahkan, parti DAP sahaja berjaya menang 12 kerusi termasuk menawan lima kerusi di kawasan parlimen Kuching sendiri. Maknanya, kini Kuching, ibu negeri Sarawak telah jatuh ke tangan pembangkang secara keseluruhannya. Biar pun ia tidak diakui oleh pemimpin BN, namun hakikatnya mereka harus menerima keputusan ini. Penaklukan bandaraya Kuching ini sebenarnya adalah pemangkin kepada perjuangan pembangkang di seluruh negeri Sarawak. Ternyata rakyat Sarawak mahukan perubahan, namun ia masih tidak kesampaian. CMK melihat, kekuatan BN mula goyah di Sarawak sekarang ini. Malah, pembangkang juga telah berjaya menang dengan jumlah undi yang cukup luar biasa malah hampir mencecah 10,000 majoriti. Ia cukup hebat dan luar biasa. Paling menarik apabila Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) iaitu komponen BN sendiri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau di sini dengan majoriti 1,590 undi. Ia satu kejutan besar dan wajar diberi perhatian oleh pemimpin BN Sarawak. Kekalahan ini menyebabkan Goerge Chan diura-urakan mahu bersara terus daripada politik. Tamparan hebat buat BN, di saat rakyat sebenarnya mula menolak Si Taib Mahmud daripada terus kekal berkuasa.

Di pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, walau pun mereka hanya menang tiga kerusi daripada lebih 40 kerusi yang ditandingi namun ia satu pencapaian yang agak memberangsangkan sebenarnya. Malah ada kerusi kontroversi yang mana BN hanya menang dibawah 100 kepada calon PKR, kiraan semula tidak dibenarkan pula oleh SPR. Mungkin takut keputusan sebaliknya pula berlaku. CMK melihat, PKR biarpun hanya menang tiga kerusi tetapi sekurang-kurangnya mereka berjaya menghantar Pengerusi PKR Negeri Sarawak, Baru Bian (foto) masuk ke Dewan Undangan Negeri. Itu yang penting buat masa ini sebenarnya. Mungkin masanya belum tiba untuk mengambil alih Kerajaan Negeri, tetapi ia sudah cukup untuk menggerunkan Taib Mahmud dan kuncu-kuncunya. Sementara itu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula dilihat mula mengembangkan sayapnya ke Bumi Kenyalang. Biar pun mereka tewas ke semua kerusi yang ditandingi, namun ia tidak bermakna rakyat Sarawak menolak parti tersebut. Tambahan pula, petugas-petugas PAS banyak menyumbangkan jasa untuk memastikan DAP menang besar di kerusi mereka. PAS dijangka menang di DUN Beting Maro, namun ia tidak menjadi. Mungkin ada hikmahnya dan PAS perlu lebih agreasif lagi untuk mengembangkan pengaruh di negeri itu. Secara keseluruhannya, pembangkang berjaya mendapat undi mencecah hampir 200,000 berbanding dengan BN 300,000 lebih. Ia satu yang baik dan harus dipertingkatkan lagi. Syabas buat rakyat Sarawak. Teruskan usaha untuk memastikan negeri itu kembali ke tangan rakyat suatu hari nanti. Salam!

Isu Lynas: Menteri Besar Mula Terperangkap Dek Keghairahan Bawa Projek Berisiko Itu Ke Pahang

Isu Lynas kini semakin hangat diperkatakan oleh rakyat Pahang. Rata-rata yang asalnya tidak tahu akan bahaya radioaktif, kini mula takut dan gusar tentang bahaya bahan itu selepas berlaku kes kebakaran kilang atom di Jepun baru-baru ini. Masing-masing mula faham dan mendapatkan maklumat tentang radioaktif, dan bagi mereka yang berada di sekitar Kuantan pula sudah mula berani untuk membantah pembinaan kilang radiaoktif rare earth kepadaLynas Corporation yang sedang dibina di Kawasan Perindustrian Gebeng sekarang ini. Soalnya, kenapa mereka bangkit membantah dan apakah yang menolak itu semuanya adalah penyokong pembangkang?. CMK sempat hadir ke Taklimat Awam Isu Lynas di Komplek Dagangan Indera Mahkota pada 6 April lalu. Bukan setakat hadir, malah CMK sempat memberi ulasan dan ucapan panas yang penuh kontroversi terutamanya bila berbicara soal wang pelincir. Ramai pemimpin UMNO Pahang yang marah kenyataan CMK itu. Malah, Menteri Besar Pahang sendiri telah menghubungi CMK menerusi SMS mengatakan dia mahu menyaman CMK andainya mengeluarkan perkataan itu sekali lagi. Soalnya, kenapa pihak ini melenting jika ia tidak benar?. CMK bercakap berdasarkan persepi ramai orang tentang sikap pemimpin kerajaan yang ada sekarang. Umum mengetahui mereka akan meminta wang pelincir untuk meluluskan atau menyokong sesuatu projek itu. Jika tidak ada pun pasti mereka akan menggunakan proksi masing-masing untuk terlibat dengan projek tersebut.

Isu Wang Pelincir Jadikan Kemarahan MB Pahang

Maknanya, memang ada dan tidak mungkin tidak ada. Maka itu, amatlah logik sebuah syatrikat (Lynas) yang mahu membina kilang berisiko seperti ini perlu menyediakan wang pelincir bagi mempercepatkan kelulusannya. Maka itu, kita tidak hairan begitu cepat dan pantas projek ini berjalan, malah tidak sampai sehari kelulusan daripada Majlis Tempatan juga diperolehi. Mereka boleh menafikan, tetapi mana mungkin ptojek RM700 juta seperti ini tiada wang pelincir. CMK bukan tidak kenal satu persatu perangai pemimpin UMNO di Pahang ini. Mereka langsung tidak mahu memikirkan nasib rakyat melainkan ketika pilihanraya. Apa yang dikejar ialah projek-projek seperti lombong bijih besi, balak, tanah, pasir, kuari dan sebagainya. Akhirnya, rakyat tidak terbela dan menanggung derita. Inilah yang berlaku dalam kes Lynas ini. Rakyat tidak diminta terlibat sama dari awal sebelum projek ini dicadangkan. Kerajaan Negeri membuat taklimat kepada orang-orang tertentu sahaja. Sedangkan mereka sepatutnya membuka ruang yang luas kepada rakyat untuk terlibat sama sejak dari awal lagi. Kini, segalanya sudah terlambat. Kemarahan rakyat sudah memuncak sedangkan operasi kilang tersebut dijangka bermula September 2011 ini. Maka, apakah yang boleh mereka harapkan lagi?. Jika sebuah kerajaan yang melaungkan kenyataan kononnya mereka mendahulukan rakyat tiba-tiba tidak membuktikannya. CMK melihat, rakyat akan terus bangkit untuk membantah operasi kilang Lynas ini. Cuma harapan kita agar tidak akan belaku sesuatu kejadian yang tidak diingin dalam keghairahan rakyat menyatakan bantahan mereka. Pemimpin UMNO terutamanya MB tidak wajar menyatakan bantahan ini didalangi oleh parti pembangkang. Malah, mereka yang hadir dalam sessi taklimat baru-baru ini bukan semuanya penyokong parti pembangkang. Ramai juga dari kalangan penyokong kerajaan dan yang tidak berparti. Namun, jika ini layanan kerajaan terhadap mereka maka sudah pasti impak yang lebih besar akan berlaku dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Rakyat Akan Meneruskan Bantahan Projek Lynas

Rakyat akan terus bangkit menyatakan bantahan dan tidak mahu kewujudan kilang tersebut di negeri. Himpunan Membantah Lynas dan Selamatkan Malaysia siri kedua telah diadakan di perkarangan Masjid Balok Makmur baru-baru ini juga membuktikan mereka serius mendesak MB batalkan projek berisiko ini. Himpunan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang yang diketuai oleh Ustaz Suhaimi Md Saad. Kawasan berkenaan adalah antara lokasi yang paling hampir dengan projekitu nanti. Malah, turut kelihatan ialah beberapa pekerja Lynas Malaysia Sdn Bhd yang bersolat Jumaat di situ. Mereka sama-sama membantah akibat tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Mereka bekerja di Lynas kerana tidak pernah tahu ilmu dan akibatnya di kemudian hari. CMK difahamkan Lynas telah mengadakan banyak temuduga terbuka di The Zenith Hotel dan Beserah baru-baru ini. Soalnya skearang, apakah akan berlaku jika projek ini diteruskan?. Rakyat sudah pasti akan membantah hingga ia dibatalkan tetapi dalam masa yang sama Menteri Besar Pahang pula cuba mempertahankan kononnya projek itu tidak berbahaya. Inilah yang menyebabkan MB terperangkap dalam hal ini. Semuanya gara-gara membelakangkan rakyat ketika mula-mula bercita-cita membawa masuk projek berkenaan. Malah, ini bukan kali pertama MB Pahang itu berbuat demikian. Sebelum ini sudah ada banyak projek berisiko yang dibawa masuk ke Pahang atas nama pelaburan menguntungkan seperti Raub Australian Mining Sdn Bhd di Bukit Koman yang dibantah oleh penduduk di sana dulu. Manakala itu pula satu lagi di Temerloh apabila kilang kertas Jerman Malaysian Newsprint Industries (MNI). Biarpun rakyat bantah projek diteruskan, akhirnya apa yang berlaku kepada rakyat di sekiatar kawasan itu. Air sungai juga tercemar dan banyak penyakit yang dihidapi penduduk dek kerana projek tersebut. Apakah kita mahu ia berlaku lagi?.

Jadi Calon Menentang Najib Di Pekan, Apakah Ia Satu Kenyataan Atau Pun Sekadar Angan-Angan

Jika pada Pilihanraya Umum Ke-12 lalu anak muda ini Khairul Anuar Zainuddin (foto) menentang Perdana Menteri Najib Razak dengan bergayanya. Kenapa tidak CMK mencubanya pada PRU-13 ini, begitulah kata-kata semangat yang diberikan oleh para sahabat selepas berceramah dan menjelajah kawasan Pekan baru-baru ini. Khairul atau Jonah yang juga merupakan Ketua AMK Selangor sekarang tewas namun berjaya mendapat hampir 20 ribu undi. Jika anak muda dari Selangor itu oleh menentang Najib yang begitu hebat dan kebal di Pahang, maka tidak CMK mencubanya. Namun, itu hanyalah pandangan mereka sebenarnya. CMK tidak terlalu taksub untuk menentang PM di Pekan. Tambahan pula CMK tidak menjadi ahli mana-mana parti politik sekarang ini. Mungkin desas-desus itu timbul kerana melihat usaha CMK mahu membongkarkan banyak masalah rakyat di kawasn Parlimen Pekan dalam masa terdekat ini. Segala maklumat dan gambar-gambar yang berkaitan telah dikumpulkan untuk dijadikan sebagai bahan bukti sebenarnya. Percayakah semua, selepas beberapa tahun menjadi Ahli Parlimen Pekan dan kini selesa menjawat jawatan Perdana Menteri, rupa-rupanya nasib orang Melayu di Pekan "bagaikan telur dihujung tanduk". Terdapat banyak bukti selepas Najib tewas sebenarnya walau pun menang dengan 241 undi pada pilihanraya umum ke-10 (1999) lalu, beliau telah menggunakan kuasanya untuk memunggah begitu ramai orang luar bermastautin di Pekan untuk dijadikan pengundi tetapnya. Paling mengejutkan. bukan sahaja orang luar Pahang yang dipunggah ke situ malah ada juga yang dari luar negara (Kemboja & Myanmar). Najib khabarnya tidak percaya lagi kepada pengundi Melayu di Pekan selepas hampir tertiarap dengan penangan 241.

Makanya, dia melakukan apa sahaja hatta meminta SPR memasukkan sebuah kem tentera yang terletak di Kuantan ke dalam Parlimen Pekan. Di wujudkan kerusi DUN baru yang bernama Pulau Manis bagi mengaburi mata rakyat dengan disokong sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Makanya, mengikut statistik terkini, tidak ada sesiapa yang boleh menewaskan Najib di Pekan untuk tempoh 10 tahun akan datang. Ini kerana beliau sudah ada cukup besar undi wajib yang solid akan menyokongnya dalam PRU nanti. Jika Pakatan Rakyat (pembangkang) bertanding di situ, maka ia akan menrugikan masa dan tenaga. Lebih elok pembangkang menumpukan ke kawasan yang ada peluang untuk menang. Maka itulah, langkah terbaik kononnya ialah CMK bertanding di situ. Atas alasan mereka, CMK anak cucu Pahlawan Melayu Pahang. Maka elok sangat menentang Datuk Najib anak pahlawan Melayu UMNO Pahang. Soalnya, apakah ia satu keputusan yang bijak atau akan menjerat diri. CMK akan timbang-timbangkan jika itu kemahuan rakyat. Tapi, banyak lagi halangan yang mendatang jika ia menajdi kenyataan. Salam Perjuangan Buat Semua!

Terima Kasih Kepada Semua, Perjuangan Harus Di Teruskan Dalam Apa Jua Keadaan Sekali Pun !

Sudah lebih sebulan CMK berada diluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas keluar pada 11 Feb 2011 yang lalu. Buat masa ini masih bergerak sebagai aktivis bebas, biarpun ada ura-ura dan khabar angin CMK bakal sertai lain-lain parti politik untuk meneruskan perjuangan rakyat. CMK sebenarnya masih seperti biasa dan tidak ada apa-apa yang menyulitkan berlaku buat masa ini. Apapun, terima kasih kepada semua sahabat yang masig terus memberi kepercayaan dan menyokong CMK. Di PRK Kerdau, CMK sempat bertugas sebagai Media Calon untuk membuat liputan aktiviti calon PAS, Nasaruddin Salim sepanjang berlangsungnya kempen pilihanraya kecil itu. Agak menyeronokkan tetapi sarat dengan kontroversi terutamanya bila CMK bertemu dengan sahabat-sahabat dari UMNO BN ketika itu. Terus terang CMK katakan, hubungan sillaturahim masih seperti biasa dengan mana-mana pihak sebenarnya. Biar pun berbagai kontroversi yang dilemparkan, namun perjalanan hidup harus diteruskan. CMK ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian semua pihak yang masih memberi kepercayaan bagi meneruskan perjuangan terutamanya Pesuruhajaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman. Tidak lupa juga buat sahabat seperti Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Pusat), Ustaz Suhaimi Saat (Ketua Pemuda PAS Pahang), Ustaz Fadhli Ibrahim (Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang) serta yang lainnya. Mereka masih menghormati pendirian CMK sejak dari dulu hingga sekarang. CMK juga ucapkan penghargaan kepada sahabat dari UMNO seperti Dato' Adnan Yaakob (MB Pahang), Dato' Ismail Mutalib (Ahli Parlimen Maran), Dato' Sharkar (ADUN Lanchang) Dato' Tan Aminuddin Ishak (ADUN Chenor), Dato' Shahaniza Shamsuddin (ADUN Kuala Sentul) dan lain-lain. CMK memohon maaf anda ada tersalah kata tersilap bicara kepasa semua pihak selama ini. Bagi CMK perjuangan itu harus diteruskan dalam apa jua keadaan sekali pun. CMK tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti sebelum PRU-13 nanti. Buat masa ini, CMK lebih selesa untuk berehat dan meneruskan aktiviti perniagaan seperti biasa. Salam buat semua. Teruskanlah perjuangan untuk membela rakyat!

Keputusan Terkini Pada Dua Pilihan Raya Kecil, Apakah Perdana Menteri Berani Adakan Pilihan Raya Umum Ke-13 Pada Tahun Ini Juga Agaknya

Pilihan Raya Kecil Kerdau yang berakhir 6 Mac lalu, akhirnya menyaksikan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad menang dengan majoriti yang lebih besar. CMK ucapkan syabas dan tahniah kepada beliau atas kejayaan ini. Namun, dari hati kecil CMK tetap menegaskan bahawa kemenangan BN di Kerdau dan Merlimau bukanlah bermakna rakyat telah menolak pembangkang dan benar-benar menyokong UMNO Barisan Nasional. Kemenangan yang dicapai itu, penuh dengan tipu daya dan helah yang amat memalukan. Berjuta wang rakyat ditaburkan di Kerdau, tanpa ada sedikit pun rasa bersalah. BN nyata tetap mahukan kemenangan dalam apa jua cara sekali pun. Mungkin, untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diterima oleh majoriti rakyat. Malah, ini juga bagi membukttikan konsep 1Malaysia itu sendiri telah berjaya. Soalnya, sekarang apa kah realiti itu benar-benar berlaku. BN nyata dahagakan kemenangan untuk mengimbangi kejayaan pembangkang dalam pilihan raya kecil terdahulu. Kedudukan kini sama iaitu pembangkang menang 8 kerusi dan BN juga 8. Maknanya BN masih perlu menambah satu kerusi jika mahu mengesahkan kemenangan mereka menerusi agregat. Namun, apa yang pasti mungkin tiada lagi pilihan raya kecil selepas ini kerana tempoh penggal parlimen ke-12 sudah cukup masanya. Makanya, keputusan seri akan kekal sehingga pilihan raya umum ke-13 nanti. Apa yang menjadi perbualan rakyat sekarang, apakah PM berani mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat dengan prestasi BN yang kian membanggakan itu?. Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijadualkan akan tiba bila-bila masa dari sekarang, sudah pasti akan menjadi penanda aras kejayaan BN sebenarnya. Jika banyak kerusi DUN Sarawak tumbang kepada pembangkang, sudah pasti ia akan menjadi igauan buruk buat PM Najib untuk menangguhkan dulu pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan pada tahun ini. Namun, jika melihat kepada senario semasa berkemungkinan besar Najib akan membubarkan parlime n dalam suku ketiga tahun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13. Apapun kepada yang menang di Kerdau dan Merlimau, laksanakanlah apa yang dijanjikan kepada rakyat. Bagi yang tewas, usahlah berputus asa kerana masih ada masa untuk melakukan agenda perubahan buat rakyat. Teruskan usaha dan yakinlah kepada apa yang telah dilakukan.

CMK Nafikan Terlibat Sebagai Agen UMNO Untuk Beli Ahli PKR Keluar Parti Sempena PRK Kerdau!

CMK ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang telah dibuat oleh beberapa pemimpin PKR Pahang termasuk Ahmad Nizam Hamid (Ketua Cabang Temerloh) baru-baru ini kononnya ada usaha terancang pihak tertentu yang menjadi agen UMNO untuk menarik ahli PKR keluar parti itu dan menyertai UMNO sempena Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau ini. Tuduhan ini tidak wajar kerana bukan semua ahli yang keluar PKR itu boleh dibeli sesuka hati seperti yang diperkatakan. CMK keluar PKR pada 11 Feb 2011 yang lalu dengan rela dan ikhlas hati selepas melihat beberapa kelemahan dan kepincangan berlaku di peringkat negeri dan pusat gagal diselesaikan dengan baik. CMK keluar dua hari sebelum ADUN Kerdau meninggal dunia, tiada tawaran atau habuan dijanjikan oleh sesiapa baik parti UMNO sendiri seperti yang dimaksudkan. CMK mengambil keputusan berat meninggal PKR, biar pun pernah bertanding mewakili parti itu dalam PRU12 lalu atas kerana melihat pemimpin PKR itu sendiri telah mula berubah sebelum merkeka bercita2 besar mahu membawa perubahan buat rakyat. Keadilan ketika Anwar berada dalam penjara lebih indah perjuangannya dari selepas Anwar keluar. Pemimpin mula berubah bila melihat kuasa sudah mula berada didepan mata mereka. Omongan kononnya Pakatan Rakyat mahu merampas Putrajaya pada PRU13 nanti menyebabkan ramai pemimpin mula berkira-kira untuk memegang jawatan penting apabila kerajaan baru dibentuk nanti.

Ada yang mahu menjadi Menteri, wakil rakyat, ahli majlis, ahli lembaga pengarah syarikat dan sebagainya. Akhirnya, masing-masing sanggup melakukan segala apa yang dituduh kepada musuh dahulu. Amalan jahiliah meresap kembali dlm jiwa-jiwa pemimpin PKR yang ada hari ini. Hingga akhirnya mereka yang mahu menegur dan memperbetulkan keadaan akhirnya dianggap pengkhianat dan diterajang keluar dari kepimpinan parti itu. Beberapa kerat pemimpin yang hipokrit dan khianat kepada perjuangan telah diangkat oleh pucuk pimpinan, sebaliknya mereka yg jujur dan ikhlas berjuang dipinggirkan malah dituduh dengan berbagai tuduhan liar. Justeru itu CMK amatlah berharap agar pemimpin PKR Pahang berhati-hati membuat tuduhan kononnya ada usaha oleh agen UMNO mahu membeli ahli mereka sekarang. Jika benar ahli dibeli, maka sudah pastilah CMK dulu yang kaya raya menikmati kemewahan dan habuan yang ditawarkan. Semua ini adalah satu retorik politik biasa yang digunakan untuk menagih simpati rakyat agar menyokong mereka.

Jangan anggap semua ahli boleh dibeli begitu mudah seperti yang mereka gambarkan. Tidak semua yg keluar parti kerana wang ringgit, mereka sebenarnya sudah kecewa dengan permainan politik beberapa kerat pemimpin yang menabur janji serta omongan kosong untuk menarik perhatian rakyat. Semoga para pengundi di DUN Kerdau bijak membuat pilihan dan menilai pemimpin yang akan mewakili mereka dengan tenang dan berhati-hati hendaknya. CMK akaui selepas keluar PKR, ramai pihak yang mahu mengajak saya menyertai mereka. Namun, buat masa ini saya lebih seleas mengambil sikap "neutral dan tidak bias kepada mana2 pihak". Mana yang baik akan saya sokong dan mana yg terkurang akan saya tegur dengan ikhlas tanpa kekangan daripada mana-mana pihak. Kehadiran CMK ke PRK Kerdau kali ini tidak lebih sebagai pemerhati yang akan memantau pergerakan semua pihak sepanjang tempoh berkempen dai 25 Feb hingga 6 Mac ini. Kepada semua pihak, berkempenlah secara berhemah dan jangan membuat provokasi melampau kepada pihak lawan yang akhirnya menimbulkan kekecohan dan menyebabkan persepsi buruk kepada orang luar terhadap pilihanraya kecil yang bakal berlangsung itu nanti.

Tidak Wajar Timbul Spekulasi Hanya Kerana CMK Terjumpa Sahabat Lama Pemimpin UMNO Pahang


Terserempak sahabat lama, YB Ahli Parlimen Maran di Legend Hotel KL
Selepas beberapa hari mengambil keputusan unudur diri dari PKR baru-baru ini (11 Feb), hati dan jiwa nampaknya lebih tenang dan tenteram sebenarnya. Biar pun diasak bertalu-talu oleh teman-teman seperjuangan dalam parti itu namun CMK berjaya membuktikan yang prinsip serta maruah itulah yang lebih penting untuk dipertahankan sekarang ini. Terkadang CMK hairan dengan beberapa kerat pemimpin parti yang rela menerima apa saja keputusan dan perbuatan salah laku yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, demi kerana mahu kekal dengan jawatan masing-masing. Malah lebih parah lagi, ada yang rela menjilat kembali ludah pemimpin tertentu agar diri mereka diangkat semula oleh pucuk pimpinan parti. Masing-masing mahu menjadi calonn dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti agaknya. Omongan Anwar bahawa Pakatan Rakyat akan menakluki Putrajaya telah menyebabkan masing-masing trauma dan bercita-cita besar untuk menjadi wakil rakyat sebenarnya. Akibatnya, segala penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam pemilihan PKR 2010 yang lalu diterima dengan sepenuh hati. Jika dulu merekalah orangnya yang menentang, tetapi kini mereka rela pula bersekongkol dengan pihak-pihak berkenaan. Apakah ini caranya berpolitik?. Di mana prinsip dan maruah mereka ini sebenarnya. Menegur kepincangan pula menjadi satu kesalahan besar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Akhirnya ahli-ahli yang ada dicucuk hidung seperti lembu untuk menerima apa saja yang dilakukan oleh pemimpin atasan. Jika inilah caranya, maka apakah parti ini mampu membawa perubahan buat rakyat Malaysia agaknya?. Perubahan yang ingin dibawa jelas sekali memakan diri mereka sendiri. CMK tidak mahu dituduh sebagai pengkhianat rakyat gara-gara ketaksuban kepada mana-mana pemimpin sebenarnya. Kita perlu berpijak dibumi yang nyata, dan bukan sekadar beretorik politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap parti kita. Inilah kelemahan ketara yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebenarnya. Justeru itu, mereka perlu benar-benar ikhlas untuk berubah sebelum bercita-cita besar untuk membawa perubahan buat semua rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Memang tidak diakui, ramai pihak menghubungi CMK untuk bertanyakan sesuatu terutamanya dengan keputusan yang cukup berat itu. Bukan sahaja pemimpin PKR dan PAS malahan juga pemimpin UMNO. Semua persoalan dan pertanyaan akan dilayan dengan baik sebenarnya. Malah, CMK tetap pertahankan tindakan keluar PKR adalah sesuatu yang dibuat dengan jujur dan ikhlas tanpa tekanan atau tawaran daripada mana-mana pihak. CMK tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat ini. Niat CMK adalah untuk berehat dan mungkin tempoh bertenang itu agak lama juga bergantung kepada keadaan. Ramai yang menuduh CMK akan melompat ke UMNO, KITA dan lain-lain parti. Tambahan pula bila melihat kelibat CMK dengan kepimpinan parti terbabit sebenarnya. CMK bersikap jujur dan melayan semua sahabat sebenarnya. Malah semalam, CMK sempat bertemu dengan sahabat lama (foto) yang kini menjadi orang kuat UMNO iaitu Dato' Ismail Mutalib. Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Maran dan juga Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC). Kami sudah berkawan sejak beliau belum menjadi wakil rakyat lagi sebenarnya. Pertemuan singkat di Hotel The Legend, Kuala Lumpur itu berlaku tanpa disangka dan kami meluangkan masa minum dan makan di sebuah restoran dekat Kg.Baru. Banyak perkara yang dibualkan termasuk politik dan isu-isu semasa. Orang boleh kata apa saja tentang pertemuan ini. Namun mereka juga harus sedar, selepas tidak bersama PKR beberapa bulan yang lalu CMK banyak naik ke pentas ceramah PAS di seluruh negeri Pahang. Malah CMK telah berceramah dengan kesemua Naib Presiden PAS iaitu Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Hj.Mahfuz Omar dan Salehuddin Ayub. Maka, apakah spekulasi yang mahu dibuat tentang perkara ini agaknya?. Apa yang penting CMK jujur berkawan dengan semua orang. Kepada mereka yang masih berada dalam perjuangan, teruskan usaha kalian. Salam Perjuangan

ADUN Kerdau Meninggal Dunia Petang Semalam, Maka Satu Lagi Pilihanraya Kecil Bakal Menyusul

Sungguh mengejutkan, belum pun sempat seluruh rakyat Malaysia menyaksikan Pilihanraua Kecil DUN Merlimau di Melaka, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kemarian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim lewat petang semalam. CMK mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Berita pemergian ADUN Kerdau ini sudah pasti sesuatu yang dinanti bagi sesetengah orang sebenarya. Malah, ketika CMK turun berceramah di mana-mana sekali pun sebelum ini ramai yang berkata "bila agaknya orang Pahang akan berhadapan dengan pilihanraya kecil di Kerdau". Kenyataan itu mungkin dek kerana situasi semasa yang menyaksikan ADUN terbabit yang sering keluar masuk hospital sejak akhir-akhir ini. Sangkaan kita ia tidak berlaku dalam tempih terdekat ini, tambahan pula ADUN terbabit kelihatan ceria dan baru saja melangsungkan perkahwinan. Kesihatannya juga dilihat semakin baik dan memuaskan, namun tiba-tiba berita ini diterima. Apapun, mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini dan bermakna rakyat Pahang pula terpaksa berhadapan dengan satu pilihanraya kecil dalam tempoh terdekat ini. DUN Kerdau adalah kerusi BN sejak sekian lama. Malah dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu BN menang dengan majoriti melebihi 1,000 undi. Soalnya sekarang apakah Pakatan Rakyat boleh menakluki DUN Kerdau selepas ini. Khabarnya Ketua Umum PKR akan berada di Temerloh pada 20 Februari ini dalam rangka memulihkan imej parti itu. Maka, kemungkinan besar kehadirannya juga akan memberi semangat kepada parti pembangkang untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil di Kerdau itu nanti. Mujurlah CMK keluar PKR sebelum berita kematian ini diterima (2 hari awal). Jika tidak sudah pastilah puak-puak PKR akan menuduh bermacam-macam lagi kepada CMK. Semua ini adalah takdir belaka. Apapun, selamat berkempen di Pilihanraya Kecil DUN Kerdau buat semua!


Klik sini untuk baca artikel penuh berkenaan artikel di atas

CMK Jadi Mangsa Kutukan Susulan Permohonan Maaf Pahang Daily Online (PDO) Kepada Si Saiful

Mutakhir ini ramai sahabat yang menghubungi CMK untuk bertanyakan maklumat perihal penarikan enam artikel kontroversi melibatkan Saiful Bukhari Azlan baru-baru ini. Memandangkan CMK pernah disiasat oleh pihak polis berhubung isu tersebut, maka mereka mengajukan berbagai soalan panas yang antaranya menuduh Pahang Daily Online (PDO) telah dibayar dan mendapat habuan tertentu agar menarik balik artikel berkenaan. Bagi CMK, apa yang berlaku kepada blog terbabit itu adalah hak mereka untuk mempertahankan pendirian masing-masing. CMK juga bersetuju dengan penarikan tersebut, memandangkan maklumat terbaru yang diperolehi oleh PDO mengesahkan bahawa Saiful tidak seperti yang digambarkan. Maka, mengapa pula ada yang bising dan melenting tidak tentu hala. Malah ada yang menuduh CMK berpakat dengan Saiful Bukhari Azlan untuk menekan Anwar dalam kes yang sedang dihadapinya sekarang ini. Ramai orang beranggapan bahawa CMK adalah PDO dan PDO adalah CMK. Mereka terperangkap dek satu situasi yang sukar untuk dinyatakan sebenarnya. Memang CMK akui bahawa CMK pernah bersama PDO sebelum ini. Namun, kini PDO telah diuruskan sepenuhnya oleh pihak lain. CMK memang masih terlibat dalam memaparkan berita-berita dari Pahang dan terlibat sebagai agensi pengiklanan untuk blog terbabit. Namun begitu, soal siapa yang membiayai PDO sepenuhnya masih lagi misteri hingga ke hari ini. CMK pun hanya dapat berhubung dengan pihak berkenaan menerusi email. Malah, ramai pihak sebenarnya yang terlibat dengan PDO sekarang dan bukannya CMK seorang. Maka itu, amatlah tidak wajar pihak-pihak berkenaan menjadikan CMK sebagai mangsa dalam kemelut ini. CMK ucapkan tahniah kepada PDO atas tindakan menarik balik artikel berkenaan. Sesungguhnya, tidak banyak blog lain yang berani berbuat demikian. Memang benar, apa yang dilalui oleh Saiful dan Anwar itu adalah antara mereka berdua dan PDO tidak wajar lagi untuk terlibat sebenarnya.