
Ditemuduga oleh wartawan 'Titik Sentuhan RTM' berkaitan isu jalan rosak dilaluan pintasan Bandar Indera Mahkota melalui Bukit Sekilau ke Bandaraya Kuantan
Berada di pejabat SPR Pahang, ambil borang bertanding DUN dan Parlimen PRU-15 lalu, namun hasrat itu dibatalkan akibat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan
Menjadi calon bebas PRK DUN Chini pada Julai 2020, walau bagaimana pun saya tewas dalam percubaan tersebut kerana kekurangan dana untuk berkempen tarik sokongan pengundi.
Akibat dihalang masuk ke dewan untuk menghantar borang pencalonan pada PRK Parlimen Rompin pada 2015, tunjuk protes dengan mengoyak borang terbabit di luar dewan.
Ditemuduga oleh wartawan Astro Awani tentang pandangan beliau apa yang dimahukan dan harapan rakyat dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12

Alhamdullillah, hari ini tanggal 25 Mei 2009 maka genaplah usia Cucu ke angka 38 tahun. Tarikh keramat 25 Mei, 38 tahun yang lalu dimana Cucu dilahirkan di Felda Bukit Goh, Kuantan sebelum berpindah dan membesar di Felda Jengka 7 Pahang. Cucu terkenangkan kedua-dua arwah ayah bonda yang telah pergi ke rahmatullah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT hendaknya. Tatkala usia meniti masa ini, banyak pahit manis yang telah Cucu tempohi dalam kehidupan ini. Membesar dari permulaan umur hingga ke usia 25 tahun didalam UMNO dan Barisan Nasional, telah memberi banyak peluang untuk Cucu mengenali setiap satu perangai rakan-rakan di dalam parti karat itu sebenarnya. Penglibatan dalam banyak pertubuhan bukan kerajaan telah memberi peluang untuk Cucu mendekati ramai pemimpin UMNO yang berjawatan besar baik dalam parti mahu pun kerajaan. Kini, berbekalkan secebis usia yang tinggal maka harapan untuk kembali kepada zaman jahiliah ketika bersama "UMNO" mungkin hanya tingga kenangan semata-mata. Tidak perlu lagi untuk dicuba biarpun dipaksa, kerana detik jantung dan hati telah menyentap segalanya. UMNO bukanlah lagi landasan perjuangan yang harus Cucu ikuti lagi. Cukuplah dengan keringat ayah bonda yang telah menubuh serta mengembangkan UMNO dulu. Kini, apa yang tinggal hanyalah sejarah perjuangan yang tidak bererti lagi. Bahkan UMNO bakal menjadi bahan tinggalan nenek moyang untuk disimpan dalam arkib selepas ini. Walau bagaimana pun, persahabatan dan pergaulan dengan rakan-rakan UMNO masih tetap rapat seperti dulu. Cuma dimasa akan datang tiada lagi upaya untuk berjuang bersama-sama mereka lagi agaknya.


Terkadang Cucu agak terkejut juga dengan keputusan Perdana Menteri Najib Razak yang mengumumkan bahwa Barisan Nasional tidak akan meletakkan calon dalam pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei 2009 ini. Agak memeranjatkan, kerana inilah kali pertama dalam sejarah pilihanraya parti kerajaan takut untuk berhadapan dengan pembangkang. Amat tidak logik sekali alasan-alasan yang diberika oleh Najib berhubung dengan perkara ini. Soal tentang pilihanraya itu diadakan tanpa mengikut perlembagaan adalah satu alasan yang tidak masuk dek akal. Jika ia tidak mengikut perlembagaan, masakan pula Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh membenarkan ia diadakan?. Bukankah SPR itu sendiri adalah talibarut dan komponen BN. Ini bermakna ia sah untuk diadakan. Masalah wakil rakyat terbabit meletakkan jawatan itu adalah hak peribadi beliau, kerana menyedari dirinya dikaitkan dengan satu kes rasuah yang pasti akan memalukan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Maka itulah beliau melepaskan jawatan secara terhormat dan tidak melompat ke UMNO seperti yang digembar-gemburkan. Inilah agaknya yang menyebabkan pemimpin UMNO dan BN bagai cacing kepanasan. Mereka meracau dan mempertikaikan pilihanraya itu tidak patut diadakan dan sebagainya. Ternyata benar bahawa mereka kian takut untuk menghadapi pilihanraya, lantaran itu jugalah cuba sedaya upaya untuk menghalang pilihanraya kecil di adakan di negeri Perak dalam masa terdekat ini.

Kemelut politik yang melanda Perak rupanya masih belum selesai. Malah Cucu lihat bertambah parah dan semakin kritikal jika Dewan Undangan Negeri Perak tidak dibubarkan. Dua persitiwa besar yang berlaku dalam masa tidak sampai pun 24 jam semalam jelas menggambarkan bagai ada sesuatu yang tidak kena dalam insiden ini. Bayangkan, penyokong Pakatan Rakyat baru sahaja bergembira dengan kemenangan Dato' Seri Nizar di Mahkamah Tinggi. Bahkan beliau dan juga barisan exconya turut menjengok masuk ke Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dekat Ipoh. Dalam kegembiraan yang baru 19 jam diraikan itu akhirnya berita sedih pula yang diterima pabila Mahkamah Rayuan menerima permohonan Zambry Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Cucu hairan kenapa begitu cepat Mahkamah Rayuan membuat keputusan dan mendengar permohonan Zambry itu. Malah khabarnya, keputusan membenarkan penangguhan itu hanya dibuat oleh seorang hakim dan bukannya panel tiga hakim seperti kebiasaannya. Ini jelas mencemari amalan perundangan itu sebenarnya. Hakim Datuk Ramly Mohd Ali, semalam membenarkan Zambry untuk menangguhkan keputusan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah oleh Mahkamah Tinggi. Biarpun ia sudah diputuskan, namun ramai yang menganggap bahawa Hakim terbabit menerima tekanan daripada pihak-pihak tertentu jika beliau melambat-lambatkan kes rayuan Zambry Kadir itu. Makanya berlakulah seperti apa yang kita lihat sekarang ini. Apa yang Cucu nampak dalam kes Nizar Vs Zambry ini, ia tidak akan berkesudahan dengan perbicaraan di mahkamah. Apatah lagi jika hakim-hakim seperti "Coklat Hacks @ Augustine Paul" dan Ariffin Jaka. Maka akhirnya rakyat Perak akan terus merana dan menanggung derita. Salam perjuangan dari Cucumatkilan buat seluruh rakyat Perak.
Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi. Nizar sebelum ini mengemukakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah. Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana pihak yang kalah boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu. Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu. Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan. Pada 6 Februari lalu, Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak selepas Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 Adun berbanding 28 Adun bagi Pakatan Rakyat (PR). Sokongan kepada BN bertambah selepas Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keluar parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas.
Dalam masa terdekat ini kemungkinan besar Cucu akan mengadakan satu Diskusi Umum dan Dialog bertajuk "Peranan Blogger Dalam Menghadapi Pilihanraya Umum Akan Datang". Program ini akan dibuka kepada orang ramai terutamanya penyokong Pakatan Rakyat. Lokasi yang dicadangkan ialah di sebuah hotel di Kuantan dan peserta dikehendaki membeli "meja" untuk menghadir program ini. Tetamu jemputan dikalangan blogger-blogger hebat akan dijemput seperti Raja Petra, Mat Saman Kati, Kickdefella, Kuda Kepang, Mutaligat, Penarik Beca dan sebagainya. Beberapa orang pemimpin tertinggi Pakatan rakyat juga akan dijemput sebagai tetamu khas. Program ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan jika tiada aral melintang ia akan dibuat pada bulan Julai 2009 ini. Satu majlis pertemuan khas blogger Pahang juga akan diadakan dalam masa terdekat ini. Justeru itu kepada para blogger Pahang yang berminat untuk hadir ke majlis ini sila hubungi Cucu ditalian 019-9625511. Sokongan semua diharapkan bagi menjayakan program ini.
Malam tadi Cucu dan beberapa orang krew Pahang Daily Online telah bersama-sama rakyat hadir dalam program ceramah umum Pakatan Rakyat di Markas PAS Kg.Embun Maran Pahang Darul Makmur. Kehadiran Cucu adalah sama seperti mereka yang lain iaitu untuk mendengar penjelasan terperinci daripada Dato' Seri Ir.Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak yang sah berhubung dengan kekecohan Sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 yang lalu. Cucu bertolak dari Kuantan sekitar jam 7.00 malam dan singgah di plaza tol Maran untuk solat jamak Maghrib dan Isyak. Cucu kemudian keluar ikut Maran dan terus ke lokasi ceramah yang terletak beberapa kilometer dari simpang Tajau iaitu jalan ke kampung halaman Cucu di Felda Jengka 7. Sampai di tempat ceramah, kelihatan ratusan kenderaan sudah diletakkan di kiri dan kanan bahu jalan. Keadaan lalulinta agak perlahan dan begitu sibuk sekali. Inilah kali pertama Cucu hadir ke program ceramah di luar Kuantan pada tahun ini. Cucu meninjau-ninjau di kawasan gerai-gerai jualan dan sempat bertemu dengan sahabat dari Felda Tementi, Bera. Mereka mengenali Cucu kerana dalam pilihanraya umum ke-12 lalu Cucu telah bertanding atas tiket PKR di DUN Kemaya, Parlimen Bera. Sempat juga berbual-bual hal semasa bersama mereka. Cucu kemudian telah berjumpa dengan sahabat lama arwah ayahanda Cucu dari Jengka 7 iaitu amat dikenali sebagai "Mat Yasok" . Perbualan kami amat singkat, berkaitan dengan senario politik di kawasan tempat asal Cucu itu. Kelihatan orang ramai mula membanjiri tapak ceramah. Setelah penat, Cucu terus pergi ke hadapan pentas berhampiran markas PAS.