
Apa yang jelas dapat dilihat mereka hanya mahu bertindak adil, telus dan cekap terhadap kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sahaja. Lantaran itulah kenyataan tentang undi pos kepada doktor, jururawat dan wartawan ini dikeluarkan. Adalah lebih elok SPR mengumumkan, semua rakyat Malaysia melaksanakan undi secara pos atau online sahaja. Ini bermakna mereka yang sudah cukup syarat untuk mengundi, tidak perlu berdaftar dengan SPR. Sebaliknya mereka boleh terus mengundi secara online atau pos seperti yang dirangka oleh mereka. Maka mudahlah untuk SPR berkerjasama dengan BN bagi menipu rakyat Malaysia yang sudah bijaksana sekarang ini. Keputusan SPR untuk menambah undi pos ini jelas sekali menghina amalan demokrasi itu sendiri. Selama ini mereka tahu bahawa undi pos dipertikaikan oleh rakyat, bahkan rakyat mahu ia dimansuhkan bagi memberi keadilan kepada parti-parti yang bertanding dalam setiap kali pilihanraya. Kini, SPR bukan sahaja cuba memansuhkannya malah mereka cuba pula untuk menambah jumlah undi pos itu. Bayangkan berapa banyak undi pos yang akan diperolehi oleh BN daripada para jururawat yang jumlahnya cukup besar sebenarnya di seluruh Malaysia. Apa yang pasti, SPR tidak mahu BN kecundang ditangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang. Terdapat desas-desus yang jelas dari kalangan pemimpin BN sendiri bahawa parti itu akan kecundang dalam pilihanraya umum akan datang jika sesuatu tidak dilakukan.
Ia dibuktikan dengan protes ahli parlimen BN terhadap Najib Razak semasa pengundian untuk meluluskan Bajet 2010 baru-baru ini. Ramai wakil rakyat BN sebenarnya memang sudah tidak dapat menerima apa jua yang dilakukan oleh PM Najib itu. Lantaran itulah, mereka mencuba sedaya upaya untuk memastikan nama Najib terpahat dalam sejarah Malaysia sebagai Perdana Menteri yang paling singkat memerintah negara ini. Kini, SPR dipercayai cuba menggagalkan usaha tersebut. Kerajaan BN yang sudah "nazak" itu kini amat memerlukan "talian hayat undi pos" daripada SPR. Jika tidak sudah pasti nasib mereka akan ditentukan oleh rakyat. Mereka sudah tidak percayakan rakyat terutamanya orang Melayu. Bagi mereka, jika tidak diatur strategi lain dengan SPR nescaya harapan untuk melihat BN menang dalam pilihanraya umum akan datang pasti akan berkubur. Langkah terbaik ialah merencanakan strategi supaya mereka menang. SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas bagi mengendalikan pilihanraya di Malaysia pula, dilihat lebih berselera untuk "bertuhankan" UMNO. Walhal mereka sendiri tahu bahawa parti karat itu telah ditolak oleh majoriti rakyat sebenarnya. Maka, kita tidak hairanlah isu undi pos ini sengaja dicipta untuk memastikan agenda itu terlaksana. Akhirnya rakyat jua yang menjadi mangsa kerakusan SPR ini sebenarnya. Apakah kita harus berdiam diri dan membiarkan ia berlaku lagi di depan mata kita agaknya? Bangkit segera demi negara tercinta!




















